ABANG SUDIR - DI DALAM MEMORI

Abang Sudir - In Memory Slideshow: Nurma’s trip to Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Kuala Lumpur slideshow. Create your own stunning slideshow with our free photo slideshow maker.

Thursday 27 February 2014

22 FEBRUARI DATANG LAGI....

Assalamualaikum,

Pertama sekali, maaf dipinta kerana sudah terlalu lama tidak menjenguk dan mengemaskini blog ini disebabkan oleh kekangan masa. 

Syukur Alhamdulillah pada 21 Februari 2014 yang lalu,satu Majlis Tahlil telah diadakan di Restoran Puteri. Sekali lagi jutaan terima kasih kepada Kak Habsah Hassan dan Kak Rubiah Suparman kerana saban tahun sangat bermurah hati menganjurkan Majlis Tahlil untuk Arwah Abang Sudir. Kadang-kadang saya rasa malu juga untuk menghadirinya.... Semoga Allah memberkati segala usaha Kak Chah dan Kak Rubiah dan semoga dimurahkan rezeki buat kakak berdua....

Seperti biasa terdapat sedikit Tazkirah dari Ustaz jemputan, bacaan Yasiin dan juga Solat Asar berjemaah. Tetapi pada tahun ini terdapat sedikit kelainan, yang sepatutnya menjadi "surprise" untuk mereka yang hadir pada hari itu... iaitu pelancaran single Kul It ATAI!! Tahniah ATAI kerana akhirnya Atai telah berjaya "keluar" daripada kepompong kesedihan kerana kehilangan Cokman.

Pada pagi 21 Februari itu juga Atai telah ditemubual di Sinar FM. Saya hanya berkesempatan mendengar segmen di permulaan sahaja. Walaupun saya dengar sikit sahaja akan tetapi ia cukup mengingatkan saya akan Arwah Abang Sudir semasa ditemubual di radio dulu. Lenggok percakapan, cara Atai menjawab soalan, ketawa... saling tak tumpah macam Arwah Abang Sudir!! Terasa macam Abang Sudir "hidup" balik!!

Selamat Maju Jaya Atai dan semoga Atai dapat menyambung perjuangan Cokman!!

Monday 27 February 2012

TERINGAT-INGAT : Pertemuan Pertama....

Masih kuingat lagi hari itu tanggal 24 Mac 1984, hari Sabtu, 12.30 tengahari, buat pertama kalinya aku bertemu dengan idolaku - Abang Sudir.

Pertemuan pertamaku dengan Abang Sudir bertempat di parking lot di Jaya Supermarket, Petaling Jaya. Masa itu Abang Sudir baru selesai membeli belah bersama seorang rakannya. Walaupun ketika itu aku bersama dengan kakakku ke sana tetapi aku terpaksa "berdepan" dengan Abang Sudir seorang diri sebab kakakku - malu... Memang panik betul masa tu, tapi aku gagahkan juga kakiku melangkah ke arah Abang Sudir. Ye lah bukan senang nak jumpa Abang Sudir.......

Setelah berhadapan dengan Abang Sudir, akupun terus berkata, "Can I have your autograph?" "Yes, sure," jawab Abang Sudir. Abang Sudirpun bertanyakan namaku dan akupun memaklumkannya. Abang Sudirpun terus mencatit sesuatu di dalam buku autographku. Tiba-tiba Abang Sudir memandang ke arahku dan berkata, " So, you're the one that always write to me!!" Masa tu bermacam2 perasaan bermain di fikiranku. Malu - memikirkan entah apa-apa yang aku tulis pada Abang Sudir. Happy - sebab Abang Sudir ingat namaku. Kagum - sebab dalam beribu-ribu peminat Abang Sudir, Abang Sudir boleh ingat nama ku… Itulah antara keistimewaan Abang Sudir - daya ingatannya tersangatlah bagus! 

Padaku, akulah orang yang paling bahagia pada hari itu. Malangnya aku tidak tahu bahawa pada ketika itu Abang Sudir sedang bertarung dengan krisis rumahtangganya dan 2 bulan selepas itu Abang Sudir berpisah dengan Kak Kay. Kesian Abang Sudir....

Inilah autograph pertamaku dari Abang Sudir

Wednesday 22 February 2012

20 Tahun Sudah Berlalu......

Assalamualaikum,

Maaf sebab sudah lama tidak mengemaskini mahupun menambah bahan-bahan di dalam blog ini. Hari ini, 22 Februari 2012, maka genaplah 20 tahun Arwah meninggalkan kita semua. Perginya semasa kita semua masih dahagakan persembahannya, celotehnya, nyanyiannya, gurau sendanya, kata-kata nasihatnya dan bermacam-macam lagi. Abang Sudir sehingga kini masih tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat Abang Sudir, you are THE ONE AND ONLY ABANG SUDIR.

Setiap tahun beberapa Rancangan disusun oleh RTM dan juga TV3 bagi mengenang jasa-jasa Abang Sudir. Terima kasih diucapkan kepada RTM dan TV3. Tetapi saya agak terkilan juga kerana seingat saya TV3 dan RTM terutamanya mempunyai banyak Rakaman Konsert-konsert dan Rancangan-rancangan yang dihoskan oleh Abang Sudir mahupun Rancangan-rancangan di mana Abang Sudir turut serta. Sudah 20 tahun Abang Sudir pergi meninggalkan kita namun saya rasa tidak pernah sekalipun RTM mahupun TV3 menayangkan kembali Konsert-konsert mahupun Rancangan-rancangan tersebut semula secara keseluruhannya. Jika adapun mungkin 1 atau 2 sahaja walhal saya rasa koleksi yang RTM sepatutnya ada teramatlah banyak sekali. RTM kebiasaannya akan mengambil beberapa klip lagu daripada beberapa Konsert ataupun Rancangan dan dicantumkan untuk dijadikan satu Konsert mengenang Abang Sudir. Kenapa RTM tidak menayangkan kembali keseluruhan Konsert atau Rancangan tersebut?  

Jika setiap tahun Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dikenang dengan diulang tayang kembali filem2 lakonannya, kenapa tidak perkara yang sama dilakukan untuk Abang Sudir? Cuma bentuk tayangan semula untuk Abang Sudir berupa Nyanyian dan bukan lakonan. Jika RTM mahupun TV3 masih mempunyai simpanan koleksi filem2 Allahyarham Tan Sri P. Ramlee takkan RTM atau TV3 sudah tidak mempunyai simpanan koleksi Konsert-konsert mahupun Rancangan-rancangan yang dihoskan oleh Allahyarham Sudirman?   Saya teramat musykil sekali akan perkara ini....

Kesian Abang Sudir....Penat lelahnya, pengorbanan yang dilakukan untuk RTM dan TV3 semasa hayatnya seperti tidak dihargai.... Bukan sahaja RTM dan TV3 tetapi saya rasa pihak-pihak lain juga. Misalannya rumah Allahyarham Sudirman sepatutnya di"preserve" dan dijaga sebagaimana Rumah P.Ramlee  di Pulau Pinang. Amat menyedihkan bila saya dapat tahu rumah Abang Sudir sudah terbakar dan teramat sedih sekali bila menonton TV3 tadi di mana pihak MHI telah melawat tapak rumah Allahyarham, saya lihat rumah tersebut sudah dipenuhi dengan semak samun. Di manakah pihak-pihak yang sepatutnya menjaga rumah tersebut? Rumah tersebut adalah salah satu khazanah peninggalan Allahyarham, kenapa ianya tidak dijaga sebaik-baiknya? Semasa hayatnya terlalu banyak jasa-jasanya untuk negara. Abang Sudir berkorban masa, tenaga, wang ringgit untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia dan dia berjaya melakukannya dengan kemenangannya di Royal Albert Hall, tapi apa yang negara lakukan untuknya setelah dia tiada???? Sedih bukan?


Abang Sudir apakan daya kami hanya peminat Abang Sudir yang kerdil, tidak mampu hendak membuat apa-apa. Cuma luahan ketidakpuasan hati yang dapat kuutarakan. Sekiranya ada yang membaca posting ini yang mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu, sudi-sudilah memperpanjangkan perkara ini kepada pihak-pihak yang berkenaan. Terima kasih.


Al-Fatihah buat Abang Sudir yang kami rindui....

Thursday 3 March 2011

Abang Sudir Di Dalam Memori

Selamat datang dan selamat melayari blog "Sudirman Haji Arshad Di Dalam Memori" ini. Blog ini diwujudkan bukan bertujuan untuk menyaingi blog-blog lain yang berkaitan dengan Sudirman Haji Arshad. Blog ini telah diwujudkan semata-mata untuk berkongsi cerita, pengalaman, gambar-gambar, koleksi dan bermacam-macam lagi yang berkaitan dengan Sudirman Haji Arshad yang ada di dalam simpanan peribadi saya.

Bagi peminat-peminat Abang Sudir yang sempat mengenali beliau semasa hayatnya, mungkin isi kandungan di dalam blog ini dapat mengimbas kembali kenangan kita terhadap Abang Sudir. Bagi peminat-peminat Abang Sudir yang tidak berkesempatan mengenali beliau semasa hayatnya, mungkin blog ini akan dapat memaparkan sedikit sebanyak kisah-kisah sejarah suka duka Abang Sudir sebagai seorang insan seni. Melalui cerita-cerita tersebut adalah diharapkan agar adik-adik semua dapat menjadikan kegigihan dan kesungguhan Abang Sudir mengharungi kehidupannya sebagai seorang insan seni sehingga berjaya di peringkat antarabangsa sebagai pedoman, panduan dan pencetus semangat untuk adik-adik berjaya di dalam bidang masing-masing. Bak kata Abang Sudir, "Usaha Itu Emas!!"
  
Abang Sudir, Sudir, Sudi, Sodemen, Suliman, Suleman, Deman, Mr Mann, The Singing Lawyer, adalah antara gelaran, panggilan dan jolokan yang diberikan kepada Abang Sudir. Seorang insan seni yang berjiwa rakyat dan patriotik. Oleh itu tidak menghairankan sekiranya kita pasti akan teringatkan Abang Sudir di dalam kita melalui kehidupan kita sehari-hari. Apabila kita hendak pulang ke kampung, lagu "Balik Kampung" akan terngiang-ngiang di fikiran kita. Bagi mereka yang tidak bekerja pastinya lagu "Aku Pengganggur" akan menjadi siulan.Tatkala kita mendapat kerja pula, kita akan teringatkan lagu, "Baru Dapat Kerja."Dan setiap kali kita menyambut Hari Kemerdekaan pastinya tidak lengkap sekiranya tiada lagu " 31 Ogos." Itu adalah antara lagu-lagu yang akan mengingatkan kita kepada Abang Sudir.

Abang Sudir, pergimu tiada pengganti, tidak seperti lirik lagumu di dalam lagu, "Hilang Berganti." Tidak mungkin akan ada penggantimu. Doaku kau aman di sana. Doaku akan sentiasa mengiringimu. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Surah Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Al-Fatihah.

Para Pengikut

Jumlah Pelawat