Selamat datang dan selamat melayari blog "Sudirman Haji Arshad Di Dalam Memori" ini. Blog ini diwujudkan bukan bertujuan untuk menyaingi blog-blog lain yang berkaitan dengan Sudirman Haji Arshad. Blog ini telah diwujudkan semata-mata untuk berkongsi cerita, pengalaman, gambar-gambar, koleksi dan bermacam-macam lagi yang berkaitan dengan Sudirman Haji Arshad yang ada di dalam simpanan peribadi saya.
Bagi peminat-peminat Abang Sudir yang sempat mengenali beliau semasa hayatnya, mungkin isi kandungan di dalam blog ini dapat mengimbas kembali kenangan kita terhadap Abang Sudir. Bagi peminat-peminat Abang Sudir yang tidak berkesempatan mengenali beliau semasa hayatnya, mungkin blog ini akan dapat memaparkan sedikit sebanyak kisah-kisah sejarah suka duka Abang Sudir sebagai seorang insan seni. Melalui cerita-cerita tersebut adalah diharapkan agar adik-adik semua dapat menjadikan kegigihan dan kesungguhan Abang Sudir mengharungi kehidupannya sebagai seorang insan seni sehingga berjaya di peringkat antarabangsa sebagai pedoman, panduan dan pencetus semangat untuk adik-adik berjaya di dalam bidang masing-masing. Bak kata Abang Sudir, "Usaha Itu Emas!!"
Abang Sudir, Sudir, Sudi, Sodemen, Suliman, Suleman, Deman, Mr Mann, The Singing Lawyer, adalah antara gelaran, panggilan dan jolokan yang diberikan kepada Abang Sudir. Seorang insan seni yang berjiwa rakyat dan patriotik. Oleh itu tidak menghairankan sekiranya kita pasti akan teringatkan Abang Sudir di dalam kita melalui kehidupan kita sehari-hari. Apabila kita hendak pulang ke kampung, lagu "Balik Kampung" akan terngiang-ngiang di fikiran kita. Bagi mereka yang tidak bekerja pastinya lagu "Aku Pengganggur" akan menjadi siulan.Tatkala kita mendapat kerja pula, kita akan teringatkan lagu, "Baru Dapat Kerja."Dan setiap kali kita menyambut Hari Kemerdekaan pastinya tidak lengkap sekiranya tiada lagu " 31 Ogos." Itu adalah antara lagu-lagu yang akan mengingatkan kita kepada Abang Sudir.
Abang Sudir, pergimu tiada pengganti, tidak seperti lirik lagumu di dalam lagu, "Hilang Berganti." Tidak mungkin akan ada penggantimu. Doaku kau aman di sana. Doaku akan sentiasa mengiringimu. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Surah Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment